Puad tuntut gantirugi dari Muhyiddin, mohon ketepi perintah injunksi mahkamah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:27 PTG
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata, beliau bersedia membela diri di mahkamah. - Foto Malaysia Gazette

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah injunksi ex parte yang diperolehi oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menuntut gantirugi.


KENYATAAN MEDIA MENGENAI INJUNKSI MAHKAMAH

Dr Puad Zarkashi

1. Saya telah membaca beberapa artikel di media sosial berkenaan dengan perintah Injunksi (sebelah pihak) yang diperolehi oleh Tan Sri Muhyiddin Md Yassin terhadap saya. Saya telah mematuhi perintah Mahkamah dan memadamkan pos tersebut pada 04.03.2021

2. Saya juga mengesahkan bahawa saya telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan permohonan untuk ketepikan perintah Injunksi ex parte tersebut dengan serta merta. Saya juga menuntut ganti rugi daripada Tan Sri Muhyiddin Md Yassin.

3. Saya yakin kepada sistem kehakiman negara kita dan saya akan membela diri saya di hadapan Mahkamah.

Sekian terima kasih.

Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi

05.03.2021.


Sebelum ini perintah injunksi interim yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada Muhyiddin untuk menghalang Puad daripada membuat kenyataan berhubung catatan berunsur fitnah di media sosial pada 1 Mac.

Berikutan perintah tersebut, Puad mengesahkan semalam beliau telah memadamkan catatan Facebooknya bertarikh 9 Feb.

Pada 16 Feb, Muhyiddin mengirim notis kepada Puad yang menuntut permintaan maaf secara terbuka dan bayaran pampasan sebanyak RM10 juta kerana didakwa memfitnah beliau.

Antara lain, beliau menuntut Puad memadam catatan bertarikh 9 Feb di Facebook berkaitan kuarantin Covid-19 untuk menteri.

Pejabat Perdana Menteri menafikan dakwaan Puad bahawa arahan kuarantin tiga hari diwartakan untuk menteri yang kembali daripada lawatan rasmi ke luar negara semata-mata kerana perdana menteri tidak mahu dikuarantin setelah kembali daripada lawatan rasminya ke Indonesia.