Politik konco-konco membangun diri sendiri bukannya membangunkan rakyat, kata Tan Sri Rafidah Aziz - Foto The Coverage |
Politik negara kini berubah apabila pemimpin sedia ada lebih mementingkan diri sendiri dan konco-konco mereka, kata Tan Sri Rafidah Aziz.
“Saya lihat politik hari ini sudah beralih daripada politik pembangunan negara dan rakyat kepada politik pembangunan diri sendiri dan konco-konco.
“Jadi maknanya sudah menyeleweng. Kalau dulu kita buat apa yang patut untuk rakyat dan negara tetapi hari ini, rakyat dan negara diketepikan begitu sahaja,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Rafidah bekas menteri kabinet di zaman Tun Mahathir, turut meluahkan rasa kesal kerana darurat yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini didakwa lebih bermotif politik namun menjadikan Covid-19 sebagai alasan.
“Darurat pun boleh dibuat demi kepentingan diri dan kelompok. Jadi tak payah adakan sidang Parlimen padahal satu dunia tetap bersidang tetapi kita tak boleh.
“Banyak urusan tertangguh. Malah menteri boleh pula ke sana sini. Saya tak faham multiple standard yang diamalkan. Bila ini cara pentadbiran negara, rosaklah negara.
“Dasar dibuat juga berubah setiap hari. Esok orang tegur, lusa ubah suai. Sepatutnya dipanggil ramai-ramai (sidang) supaya ketentuan ada (dasar), macam kita buat dulu.
“Bila satu dasar diterima semua, esok sudah boleh laksanakan sebab semua orang tahu dasar itu memang bagus,
“Ramai rakyat terkesan, hilang pekerjaan. Macam-macam masalah ekonomi dan sosial timbul. Jadi bila ditambah pula keraguan pentadbiran, rakyat bukan sahaja risau tetapi marah.
“Jadi politik hari ini bukan lagi politik parti sebaliknya politik nak pegang kuasa sampai mati. Saya tak terfikir dapat melihat politik yang kucar-kacir ini,” kata Rafidah dipetik Sinar Harian.
Bersatu Free Malaysia Today Mahathir Mohamad Malaysiakini BM Pejuang PKR Politik Rafidah Aziz umno