‘Parti setahun jagung jangan bercakap soal perpaduan ummah dengan Umno’ - Tok Mat

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1:54 PG
Umno mengingatkan kepada pimpinan serpihan parti Melayu yang baru berusia setahun jagung agar tidak bercakap soal perpaduan ummah dengan mereka.

“Usahlah tuan-tuan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno apabila tuan-tuan sendiri tidak punya sebarang rekod menyatupadukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” bidas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC hari ini.

Tambah beliau, parti berkenaan bukan hanya memancing dan mengutip sesiapa sahaja yang pantas meninggalkan perjuangan bangsa bahkan menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno kalau tuan-tuan sendiri berentap dengan mereka yang sebelum ini tuan-tuan peluk dan dakap mesra,” katanya.

Isu perpaduan ummah kini menjadi hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini dan menjadi tular sehingga ramai pihak menyifatkan isu ini semakin parah.

Bagi Mohamad, Umno sudah lama menyemai soal perpaduan ummah sejak puluhan tahun lagi dan tidak perlulah ada mana-mana parti yang mahu mengajar mereka lagi.

Katanya, Umno berupaya menyatupadukan Malaysia dengan sokongan pelbagai parti komponen pada 1988 dan 1998.

“Jangan dilupa, dalam segala perselisihan yang pernah wujud, Umno tetap menerima kembali Semangat 46 ke pangkuan perpaduan bangsa,” ujar beliau.

Justeru, katanya, Umno dan BN akan memperjuangkan perpaduan Melayu dan perpaduan nasional tanpa terpisah-pisah dan bergerak seiring.