Hadi seru jangan larang bukan Islam sebut, tulis kalimah Allah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:04 PG
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengakui memang terdapat agama selain Islam yang menggunakan kalimah itu, walaupun tidak boleh mencapai maksud asalnya kerana kepercayaan yang bercanggah. - Foto MalaysiaDateline

Orang bukan Islam, termasuk yang melantik banyak Tuhan atau ateis, tidak harus dilarang menyebut atau menulis kalimah “Allah” walaupun mengikut kepercayaan masing-masing, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Pada asalnya dalam semua kitab agama Allah, telah ditegaskan bahawa Allah sahaja Tuhan yang sebenar,” katanya di Facebook seperti dilapor portal FMT.

Abdul Hadi berkata demikian, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu bahawa larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah tidak sah.

Dalam memutuskan arahan KDN itu tidak mengikut perlembagaaan, mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang penganut Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrance Bill, untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.

Hadi mengakui memang terdapat agama selain Islam yang menggunakan kalimah itu, walaupun tidak boleh mencapai maksud asalnya kerana kepercayaan yang bercanggah.

“Jika penganut setiap agama menyebutkan perkataan Allah mengikut kepercayaan masing-masing akan adanya Allah (Tuhan), itu adalah hak kebebasan beragama,” katanya.

Namun, Hadi menegaskan ada keperluan untuk melihat tujuan penggunaan perkataan itu.

“Jika tujuannya untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, maka ada sempadan (batas-batas) dan hukumnya,” katanya.

Hadi mengingatkan semua pihak perlu menunjukkan kebijaksanaan dalam isu ini, dan menjaga sensitiviti dalam konteks masyarakat majmuk.

“Andai kata, kalau perkataan Allah dijadikan jenama kasut yang dipijak, adakah atas nama kebebasan, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia boleh membenarkan ia berlaku?” katanya.

Pada masa sama, Hadi juga mengingatkan Islam melarang penganutnya menyentuh sensitiviti penganut agama lain.

“Janganlah kalian mencerca sembahan-sembahan yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan,” katanya, memetik Surah al-An’am.