BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang wanita yang memandu kereta secara melawan arus sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan tiga kenderaan lain di susur Jalan Perusahaan Perai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Shafee Abd Samad berkata dalam kemalangan pukul 6.20 petang, wanita berumur 31 tahun itu datang dari Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Perusahaan Perai, memandu secara melawan arus kerana mahu melalui jalan pintas di situ.
“Wanita yang memandu kereta jenis Honda Civic melawan arus itu telah melanggar dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Exora masing-masing dipandu lelaki berusia 26 dan 29 tahun serta seorang penunggang motosikal berusia 31 tahun yang datang dari arah hadapan.
“Empat pemandu termasuk penunggang motosikal itu mengalami pelbagai kecederaan antaranya sakit kaki dan sakit dada serta luka di kaki. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pemandu wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dan ujian awal mendapati dia bukan di bawah pengaruh dadah atau arak namun polis telah mengambil sampel darah untuk pemeriksaan lanjut.
Shafee berkata wanita yang juga seorang pekerja swasta itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kemalangan disiasat menurut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan itu menyebabkan semua kenderaan yang terlibat dalam kejadian tersebut rosak teruk dan video insiden terbabit turut tular menerusi media sosial. - Bernama