Tidak ada satu pun ordinan yang diperkenalkan sepanjang darurat sekarang bertujuan untuk membolehkan seorang perdana menteri berkuasa selama-lamanya, kata Muhyiddin Yassin.
“Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi,” kata perdana menteri dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, selepas setahun gabungan pimpinannya, Perikatan Nasional memerintah.
“Malah, darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos 2021,” katanya seperti dilapor portal FMT.
Muhyiddin menjelaskan semua ordinan yang diperkenalkan sehingga ini untuk membolehkan kerajaan menangani pandemik dengan lebih cekap dan berkesan.
Katanya, dengan mengisytiharkan darurat, semua ordinan itu dapat dimasyhurkan dalam tempoh singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen, yang kebiasaannya mengambil masa yang lama.
Antaranya termasuk menambahbaik pengurusan penginapan pekerja asing “yang menjadi antara punca utama penularan Covid-19.”
Ordinan yang dimasyhurkan sehingga kini adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021, dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Muhyiddin sekali lagi menegaskan beliau menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi, mengatakan beliau akan menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen apabila masalah Covid-19 dapat diatasi.
“Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin menggesa semua penjawat awam tumpu pada usaha mempercepatkan penyampaian bantuan kepada rakyat, dengan cekap, berintegriti, dan prihatin.
“Ini keutamaan nombor satu,” katanya.
“Mereka tidak boleh tunggu lama-lama. Sehari lewat mungkin dapur mereka tidak berasap. Begitu juga permohonan-permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur. Permudahkan proses mereka melabur, memula dan memulihkan perniagaan,” katanya.
KLIK BACA: "Sah Disisi Undang-Undang, Saya Tak Boleh Duduk Sebagai PM Haram", kata Muhyiddin
Covid-19 Malaysiakini BM Politik Sinar Online Tan Sri Muhyiddin Yassin