Sultan Selangor terkejut SPRM dedah kes rasuah babit Penjawat Awam

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:09 PTG
Sultan Selamgor Sharafuddin Idris Shah - Foto The Star

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi kebimbangan berhubung peningkatan isu membabitkan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.

Portal Harian Metro memetik kenyataan akhbar di Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda bertegas bahawa rasuah dan fitnah yang semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat, serta dikhuatiri mampu menghancurkan negara.

Baginda mengingatkan kepada orang Melayu khususnya, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang serta berdosa di sisi agama Islam.

"Baginda berpandangan bahawa rasuah dan fitnah ini juga menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara seterusnya mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa. Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu.

"Sultan Selangor turut terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes rasuah yang berlaku di negara ini membabitkan penjawat awam.

"Oleh yang demikian, baginda menyeru SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah," jelas kenyataan dipetik Harian Metro.

Sultan Selangor berharap pelaku rasuah ini dibanteras dengan segera berdasarkan bukti kukuh dan diadili di mahkamah dengan pantas serta telus supaya menjadi teladan kepada masyarakat.

Baginda juga menasihatkan rakyat memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.