Bapa tiri kanak-kanak maut didera pernah didakwa cederakan isteri

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:00 PTG

 Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, pada sidang media yang diadakan di IPK Melaka, hari ini.-NSTP/ Iqmal Haqim Rosman

AYER KEROH: Bapa tiri kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera, Jumaat lalu, pernah didakwa di mahkamah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata suspek yang kini direman tujuh hari, pernah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada 8 September tahun lalu, tetapi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

"Lelaki itu pernah didakwa kerana memukul isteri yang juga ibu kandung kepada kanak-kanak yang meninggal dunia itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini hari ini.

Abdul Majid berkata, setakat ini, polis masih melengkapkan kertas siasatan kerana terdapat beberapa perkara perlu diteliti sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Suspek lelaki berusia 38 tahun bersama isterinya berusia 32 tahun itu direman tujuh hari sejak Sabtu lalu selepas dipercayai mendera kanak-kanak terbabit sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat lalu, kanak-kanak terbabit ditemui lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah mereka dengan terdapat kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Jenazah yang dituntut waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Kampung Simpang Bekoh, Jasin, Isnin lalu.