Singkir ahli politik ketuai GLC, keadaan tambah buruk, kata Dr Mahathir

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:39 PTG
PUTRAJAYA: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil kesempatan daripada statusnya untuk berniaga besar-besaran dan mengekang orang Melayu berbuat demikian, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara khas dengan FMT, bekas perdana menteri itu berkata GLC telah menyimpang daripada tujuan penubuhan mereka sehingga “menggagalkan orang Melayu.”

Mahathir berkata, semasa beliau menerajui negara kali pertama, GLC ditubuhkan untuk membantu kaum Melayu yang tidak mampu memiliki saham dalam perniagaan.

Beliau berkata ketika itu, orang Melayu meminjam wang, membeli saham, dan kemudian menjualnya untuk melangsaikan hutang.

Beliau berkata amalan itu tidak berkesan untuk mengurangkan jurang antara kaum Melayu dan komuniti lain.

Justeru, untuk mengelakkan orang Melayu menjual saham, kerajaan pimpinan Mahathir ketika itu mewujudkan GLC untuk membeli saham Bumiputera.

Bagaimanapun, GLC menyimpang daripada matlamat asal itu apabila menubuhkan syarikat yang bersaing dengan syarikat Melayu, kata Mahathir.

Mahathir, yang pernah menyifatkan GLC sebagai “raksasa” yang tidak lagi mematuhi dasar kerajaan, menuduh syarikat kaitan kerajaan menceburi perniagaan secara besar-besaran dan mengambil kesempatan daripada statusnya.

“Mereka (GLC) sepatutnya membantu orang Melayu tetapi mereka gunakan itu untuk menjauhkan orang Melayu dari perniagaan,” kata Mahathir dalam wawancara khas dengan FMT.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ahli politik, khususnya mereka yang tidak berpengalaman dalam perniagaan, tidak harus dibenarkan memegang jawatan dalam GLC.

Ahli politik sedemikian yang memegang jawatan dalam GLC pada masa ini harus disingkirkan untuk ‘memulih’ dan memastikan syarikat berkenaan kembali kepada matlamat asal penubuhan, kata beliau.

Mahathir berkata apabila beliau kembali menjadi perdana menteri kali kedua pada Mei 2019 atas tiket Pakatan Harapan (PH), pimpinan GLC dipilih berdasarkan kelayakan profesional.

Namun langkah itu hanya bertahan selama 22 bulan PH berkuasa sebelum digantikan oleh Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Sekarang, semua ahli professional yang kita (PH) lantik dipecat, dan diganti dengan ahli politik, justeru keadaan kembali buruk,” kata Mahathir.

Ditanya mengenai dasar meritokrasi di banyak negara maju, Mahathir membayangkan dasar sedemikian, walaupun baik, mungkin tidak berupaya mengurangkan jurang ekonomi antara kaum, malah melebarkannya.

Sebagai contoh, beliau berkata kaum Melayu tidak mempunyai kemahiran berniaga setanding dengan kaum Cina yang “berpengalaman berniaga beribu tahun”, malah boleh bersaing dengan Barat.

Beliau berkata dalam menggalakkan persaingan dalam kalangan penduduk, mereka yang lemah dalam sesuatu bidang, harus diberi “handicap” tertentu.

“Ia sama seperti bermain golf. Pemain yang lemah kena diberikan ‘handicap’. Jika tidak, beliau tidak mungkin menang,” kata Mahathir.

Mahathir berkata meritokrasi tidak boleh berasaskan kepada kebolehan (merit) semata-mata, kerana ia akan membawa padah tersendiri.

Meritokrasi sedemikian, kata Mahathir, akan memberi kelebihan kepada mereka yang memiliki kemahiran sedia ada untuk berjaya, manakala yang lain akan terus ketinggalan.

“Jurang perbezaan antara mereka akan menjadi amat ketara dan apabila ini berlaku, konflik akan tercetus,” kata beliau. - FMT