"Sokong Najib saman Tommy fitnah bapanya Tun Razak", kata Tun Mahathir

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:48 PTG
Dr Mahathir Mohamad berkata Najib Razak harus memfailkan saman terhadap Tommy Thomas kerana memfitnah bapanya, pemimpin Melayu yang disegani. - Foto FMT

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menyokongnya jika Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan atas dakwaan terhadap bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

Ketiga-tiga mereka adalah bekas perdana menteri Malaysia.

Mahathir berkata, beliau akan “menyokong” Najib jika mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan tersirat dalam buku bekas peguam negara Tommy Thomas yang mendakwa Razak sebagai dalang rusuhan kaum pada 1969.

Mahathir berkata Najib harus memfailkan saman terhadap Thomas kerana memfitnah Razak, pemimpin Melayu yang disegani.

“Kalau yang ini, saya akan sokong dia,” katanya di Facebook beliau.

Thomas, dalam bukunya baru-baru ini, mengaitkan rusuhan berdarah 13 Mei dengan rampasan kuasa oleh Razak, perdana menteri kedua negara.

Mahathir juga memberitahu Najib supaya menyiapkan “fakta yang relevan” untuk menarik Thomas ke mahkamah kerana mengaitkan Ahli Parlimen Pekan itu dengan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam bukunya.

Perang saraf antara Dr Mahathir dan Najib di media sosial bermula selepas Najjib mentertawakan dakwaan Mahathir dalam satu wawancara, bahawa beliau tidak campur tangan dalam badan kehakiman negara ketika kali pertama menjadi perdana menteri.

Ini menyebabkan Mahathir meminta Najib fokus pada kes rasuah 1MDB yang dihadapinya. Beliau turut menyentuh kenyataan anti-Cina yang didakwa dikeluarkan oleh Najib bersabit kenyataan hunus keris yang pernah dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pekan itu pada 1987.

Sebagai respons, Najib menolak tuduhan itu, dengan menegaskan beliau sudah menafikan tuduhan itu beberapa kali, termasuk di Dewan Rakyat.

Mahathir berkata, hari ini beliau menerima penafian Najib. “Saya juga sudah banyak kali nafi tuduhan saya mencampuri badan kehakiman.”

Najib berkata, beliau akan menyaman Thomas kerana apa yang didakwanya adalah kenyataan fitnah yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya. Umno juga sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan taktik rampasan kuasa Razak pada 13 Mei 1969.