Saya malu tak dapat buat sebanyak Ebit Lew, kata Annuar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:10 PTG

Annuar Musa berkata, pemimpin kerajaan perlu mempunyai perasaan malu kerana ada kuasa, tetapi tidak dapat melakukan secukupnya untuk rakyat.

KUALA LUMPUR: “Saya rasa malu sebab saya wakil rakyat, dan saya tidak dapat buat sebanyak yang dia buat,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa ketika mengulas pendakwah bebas dan dermawan, Ebit Lew yang dilihat pantas melakukan kerja amal serta sumbangan.

Katanya, pendakwah itu antara individu yang beliau ingin bertemu bagi berkongsi perkara berkaitan kebajikan dan sumbangan kepada rakyat yang mungkin boleh dipelajari daripadanya.

“Mungkin saya berbeza pandangan sedikit, peranan NGO lain dan peranan kerajaan lain, tetapi dalam masa yang sama, kita (pemimpin) harus ada perasaan malu, bukan malu dalam bentuk yang negatif, malu positif.

“Ini kerana orang yang tiada kuasa macam beliau sanggup berbuat lebih, bagaimana kita orang yang ada kuasa, kita tidak berbuat cukup,” katanya dalam program Bicara Minda secara maya anjuran Sinar Harian.

Bagaimanapun, menteri itu berkata, tanggungjawab kerajaan tidak sama dengan tanggungjawab NGO kerana kerajaan juga perlu merangka dasar baik.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu mengadakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat rakyat sekarang, tetapi hasilnya akan dapat dilihat dalam jangka lebih panjang.

“Kalau ada sesuatu masalah kita turun dan selesaikan, itu pun penting, tapi sebagai kerajaan terutamanya, kita harus memikir jauh daripada itu.

“Jadi, kalau tidak nampak turun (padang) bukan bermakna kerajaan tidak berfungsi, tetapi lebih baik kalau kita menguruskan kerajaan dari segi pelaksanaan dasar baik, sementara kita juga terus menjadi sebuah kerajaan prihatin dan cakna kepada permasalahan rakyat.” - Bernama