Saudi tetapkan jemaah haji umrah mesti umur bawah 60 tahun, sihat tubuh badan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:09 PG
PAPUH mencadangkan supaya kerajaan Malaysia mewajibkan jemaah umrah melakukan ujian saringan Covid-19 minimum tiga hari sebelum terbang ke Arab Saudi. - Foto AP

Kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat bahawa semua jemaah yang ingin menunaikan haji dan umrah pada tahun ini mestilah berusia di bawah 60 tahun, sihat tubuh badan dan tidak menghidapi sebarang penyakit berjangkit.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Razali Mohd Sham, berkata semua jemaah haji juga diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan sihat tubuh badan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sekurang-kurang tiga hari sebelum penerbangan mereka ke tanah suci Makkah atau Madinah.

Sebagai tambahan, PAPUH juga mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mewajibkan jemaah umrah melakukan ujian saringan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum berlepas ke tanah suci untuk langkah pencegahan Covid-19.

“Sebenarnya masalah sekarang ini bukan di pihak berkuasa Arab Saudi tetapi kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan rakyat keluar masuk negara ini.

“Kerajaan Arab Saudi memang sudah membuka pintu negara mereka kepada rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadah umrah dan haji pada tahun ini dengan syarat jemaah memenuhi kriteria ditetapkan mereka.

“Saya juga difahamkan Arab Saudi sedia memberikan kelonggaran dan mempertimbangkan untuk membenarkan jemaah berusia lebih 60 tahun menunaikan haji tahun ini, dengan syarat mereka sihat tubuh badan (tidak mempunyai penyakit kronik) dan melepasi ujian saringan Covid-19 dibuat tiga hari sebelum penerbangan ke Makkah atau Madinah,” katanya ketika dihubungi FMT di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bahawa kerajaan telah mengemas kini SOP ibadah haji Malaysia dan akan membuat pindaan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia memenuhi syarat kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu, Zulkifli berkata, SOP berkenaan perlu diserahkan kepada kerajaan Arab Saudi untuk diteliti dan mendapat pengesahan supaya jemaah Malaysia tidak dihalang daripada mengerjakan haji tahun ini.

Setakat ini Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR) bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Kementerian Kesihatan sudah selesai menyediakan SOP ibadah haji Malaysia.

Zulkifli berkata, SOP itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa supaya selaras dengan SOP Arab Saudi sebelum ini kepada jemaah haji dari seluruh dunia, dan menambah, beliau berharap ia akan diterima kerajaan Arab Saudi.

Untuk rekod, Razali berkata Malaysia adalah antara negara yang diberikan kelonggaran awal untuk menghantar jemaah umrah ke Arab Saudi berikutan disiplin tinggi ditunjukkan umat Islam di negara ini.

Sementara itu, Razali berkata tindakan kerajaan Malaysia melarang rakyat Malaysia bercuti ke luar negara dan menunaikan umrah serta ziarah juga menyebabkan kira-kira 5,000 agensi pelancongan, haji dan umrah termasuk ahli PAPUH kini ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’ dan terpaksa menutup sementara operasi syarikat dan memberi cuti tanpa gaji kepada kakitangan masing-masing kerana tiada pendapatan.

Berikutan itu, Razali berkata pihaknya berharap kerajaan akan membenarkan rakyat Malaysia kembali menunaikan ibadah umrah dalam norma baharu dengan kebenaran Arab Saudi mulai Mac ini bagi memberi ‘nyawa’ kepada penggiat dan agensi pelancongan di negara ini yang sedang ‘nazak’.

Pada tahun lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan pelbagai syarat ketat dikenakan kepada jemaah untuk menunaikan haji tahun lalu termasuk bilangan jemaahnya tidak lebih 10,000 orang selain semua jemaah perlu disaring sebelum tiba di Tanah Suci Makkah dan Madinah. - FMT