Rosmah mahu lihat surat Gopal Sri Ram

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:07 PG
Rosmah memohon mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah terhadapnya. Foto FMT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Apr ini bagi mendengar rayuan Rosmah Mansor berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuahnya.

Peguam beliau Akberdin Abdul Kader mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pengurusan kes untuk rayuan itu dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Darmafikri Abu Adam pada 8 Feb lalu.

Rosmah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah yang dihadapinya berhubung pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sementara itu, Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan The EdgeMarkets mahu membuang timbalan pendakwa raya kanan (DPP) Datuk Seri Gopal Sri Ram dari mendakwanya.

Perkara ini disahkan oleh peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh kepada TheEdgeMarkets.com

Rosmah berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta suapan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu.

Rasuah itu didakwa diterima menerusi bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Jan 2016 dan Sep 2017.

Mahkamah Tinggi menetapkan Khamis ini (18 Feb) untuk memutuskan sama ada memanggil Rosmah membela diri atau melepaskan beliau daripada kesemua tiga pertuduhan tersebut. - Bernama