Datuk Seri Mohd Shamsul Iskandar Md Akin menegaskan kejatuhan sebenar Pakatan Harapan (PH) adalah kerana Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa berbincang dengan pemimpin komponen lain.
Naib Presiden PKR itu berkata, keputusan Dr Mahathir berbuat demikian merupakan fakta yang telah diketahui sekian lama oleh rakyat.
Sekarang, tindakan Dr Mahathir cuba meletakkan kesalahan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca utama kejatuhan PH merupakan ‘sangkaan jahat’.
“Rakyat Malaysia sudah tahu PH jatuh apabila Mahathir sendiri meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Dan yang menjadi parah lagi apabila keputusan beliau letak jawatan itu, pada pandangan saya, tidak ada perbincangan di kalangan pimpinan tertinggi PH.
“Ini tentunya melanggar prinsip musyawarah yang sepatutnya dihayati dan saya yakin Mahathir sebagai orang lama dalam politik faham prinsip ini. Namun, tindakannya itu telah menimbulkan prasangka cukup besar, dilakukan tanpa mengambil kira pandangan dan pendapat rakan-rakan komponen PH,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir dalam catatan di blognya berkata, sebab yang menjatuhkan PH adalah tindakan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri ketika membuat pengakuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Februari 2020.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, sekiranya pada waktu itu pemimpin PH sepakat memilih namanya sebagai Perdana Menteri, semuanya tidak berlaku dan PH tidak jatuh.
“PH yang sepatutnya cadang saya, telah cadang Anwar konon kerana beliau mendapat cukup bilang disebabkan sokongan dari Sabah dan Sarawak.
“Tetapi Anwar hanya dapat 92 pencalonan dari PH sahaja. Sabah dan Sarawak tolak Anwar. Saya dapat 62 pencalonan kerana PH tolak saya,” dakwa Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Shamsul Iskandar berkata, yang benar-benar mengetahui jumlah sokongan sebenar untuk menjadi Perdana Menteri ketika itu, hanyalah Yang di-Pertuan Agong.
Biarpun begitu, beliau berkata, pimpinan kanan PH sudah yakin majoriti ketika itu sudah memihak kepada Anwar.
“Tiada siapa tahu jumlah yang menandatangani akuan bersumpah di hadapan YDP Agong, kecuali Pejabat Istana Negara, khususnya Tuanku sendiri. Kerana kita tanda tangan akuan bersumpah di hadapan Tuanku.
“Kita tanda tangan dokumen, letak nama atau apa saja kita nak letak dalam kolum itu disaksikan YDP Agong. Tiada siapa tahu jumlah… tetapi kami yakin majoriti kepada Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Shamsul Iskandar berkata, kalaulah sekiranya Dr Mahathir berpegang kepada janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar mengikut apa yang telah dipersetujui, perkara itu tidak akan timbul.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu bagaimanapun menyedarkan, peristiwa tersebut sepatutnya menjadi pengajaran kepada PH serta gabungan parti politik akan datang, bahawa amat penting untuk mempertahankan muafakat yang telah dipersetujui.
KLIK BACA: Nazir kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei
DAP Free Malaysia Today Mahathir Mohamad malaysiakini Malaysiakini BM Pakatan Harapan Parti Amanah Negara PKR Politik