Pukul kucing bunting dengan besi hingga mati, wanita mengaku tak salah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:27 PTG
Wanita bunuh kucing - Foto ihsan NSTP

PULAU PINANG: Seorang broker wanita mengaku tidak bersalah memukul dua kucing sehingga mati, di Pintas Kalui, Seberang Jaya pada Disember lalu lapor BH Online.

Tertuduh, Hah Choy Kheng, 51, membuat pengakuan tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Choy Kheng didakwa dengan kejam memukul seekor kucing betina baka tempatan berwarna oren dan seekor anak kucing baka tempatan berwarna putih kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter hingga menyebabkan kedua-dua haiwan itu mati.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan Blok B1, Pintas Kalui 1, Seberang Jaya pada jam 1.20 tengah hari pada 29 Disember lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsher Singh Thind.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

BH Online melaporkan dalam kejadian 29 Disember tahun lalu, tertuduh dilaporkan memukul dua kucing akibat berang selepas dua haiwan itu membuang najis di hadapan rumahnya.

Seekor daripada kucing bunting berkenaan mati manakala seekor lagi cedera parah akibat dipukul dengan sebatang besi.

Ketika kejadian dua kucing itu dilaporkan sedang makan sebelum wanita terbabit mengambil sebatang besi dalam keretanya dan memukul haiwan itu.

Kejadian disedari seorang juruteknik lelaki berusia 30 tahun yang kemudian melaporkannya kepada JPV untuk tindakan lanjut.