Polis tangkap lelaki mengaku pengasas Sugarbook

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:57 PTG
Menerusi siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook, kata polis.

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengasas kepada laman web temu janji kontroversi Sugarbook, yang sebelum ini disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Fadzil Ahmat berkata, suspek yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang, itu ditahan di ibu negara menerusi Ops Sugarbook kira-kira 4.30 petang semalam dan permohonan reman dibuat hari ini di Mahkamah Shah Alam.

“Menerusi siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook,” katanya, lapor Berita Harian.

Fadzil berkata, siasatan ke atas lelaki tersebut dibuat mengikut Seksyen 372(1)(d), 372B dan 505(b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Free Malaysia Today sebelum ini melaporkan, Sugarbook, platform temu janji “sugar daddy” terbesar di Asia melaporkan peningkatan 40% pelajar mendaftar untuk menjadi “sugar baby” sejak Januari, dengan menyatakan krisis kewangan dialami golongan terbabit.

Platform itu turut mendedahkan senarai “top 10” universiti “sugar baby” di Malaysia di Lembah Klang termasuk dua universiti awam, dengan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan terjebak dalam kancah itu.

Bahkan, Malaysia dilaporkan menjadi “sarang” kepada 42,500 “sugar daddy”, ketiga paling tinggi di Asia selepas India (338,000) dan Indonesia (60,250), menurut SeekingArrangement, laman “Sugar Dating” terbesar dunia.

Laman sesawang Sugarbook kini tidak lagi boleh diakses selepas disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia susulan desakan daripada pelbagai pihak.