Love Scam di Malaysia - Foto NSTP |
ALOR SETAR: Seorang pensyarah wanita kerugian RM206,470, selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Love Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata mangsa berusia 49 tahun yang belum berkahwin berasal dari Bagan Datuk, Perak itu dikatakan berkenalan dengan lelaki dari United Kingdom (UK) bernama 'Harris' melalui laman Facebook.
Beliau berkata, mangsa kemudian menjalinkan hubungan di alam maya itu sejak November tahun lalu sehingga Januari lalu.
"Sepanjang tempoh perkenalan, lelaki bernama Harris itu memperdaya mangsa dengan kata-kata manis, malah berjanji menghantar beberapa hadiah seperti beg tangan, kasut dan telefon bimbit kepada mangsa menggunakan perkhidmatan kurier.
"Namun, pada 17 November tahun lalu, mangsa menerima panggilan daripada wakil ejen pengeposan mengenai barangan itu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya seperti dilapor BH Online hari ini.
Elias berkata, sejak itu mangsa dihubungi ejen berkenaan yang memintanya membuat bayaran kos pengangkutan, cukai, caj kastam dan pertukaran wang bagi mendapatkan barangan kiriman terbabit.
"Mangsa kemudian membuat bayaran secara berperingkat dengan melakukan 54 kali transaksi wang secara atas talian berjumlah RM206,470 ke 16 akaun bank yang berbeza.
"Tidak lama selepas itu, mangsa mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, sebelum membuat laporan polis di Kulim, Kedah semalam," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya jangan mudah percaya dengan penipuan cinta dalam talian atau Love Scam, selain tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau kewangan kepada rakan dalam dunia alam maya," katanya dipetik BH Online.
Jenayah Love Scam mymetro polis diraja malaysia Sinar Online