JOHOR BAHRU: Seorang penolong pegawai di Jabatan Agama Islam Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu atas dakwaan menerima suapan bernilai RM26,800.
Tertuduh, Nurhazlin Hashim, 37 tahun, yang tidak diwakili peguam, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Nur Hazlin pada 27 Oktober 2019 di Jalan Kijang, Taman Mohd Yassin, Simpang Renggam, telah menerima suatu suapan untuk dirinya berjumlah RM12,800 di dalam akaun miliknya dari syarikat pembekalan sebagai dorongan untuk mendapatkan kerja bagi seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Saudara Kita Negeri Johor 2019.
Manakala pada 29 Oktober 2019 dalam daerah sama, tertuduh sekali lagi telah secara rasuah menerima suatu suapan wang sejumlah RM7,000 di dalam akaun miliknya iaitu mencadangkan kepada syarikat yang sama untuk mendapatkan kerja bagi program Santuni Orang Asli Siri 2/2019.
Pada 4 November 2019 pula, tertuduh melakukan perkara sama telah secara rasuah menerima suatu suapan bernilai RM7,000 untuk mendapatkan kerja bagi program Santuni Orang Asli Siri 3/2019 kepada syarikat yang sama.
Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan pada mahkamah dan tertuduh diminta melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh merayu agar wang jaminan dikurangkan disebabkan tiada kemampuan untuk membayar kerana masalah kewangan selain gaji yang kecil.
Sementara itu, Ahmad Kamal menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Sebutan semula kes pada 3 Mac depan. - Astro AWANI