IPOH: Seorang pegawai kanan dan lima anggota polis antara 14 yang ditahan ketika berpesta dan berhibur dalam ‘parti liar dadah’ di sebuah pangsapuri di bandar ini pagi tadi.
Semua mereka ditahan dalam serbuan 1.30 pagi oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, pegawai kanan berusia 30-an dan lima anggota pelbagai pangkat berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu bertugas di kontinjen Perak.
“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati hanya pegawai terbabit dan empat angggota positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
“Dalam serbuan itu, kita turut menahan lima wanita tempatan dan tiga wanita Indonesia masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Semua wanita tempatan dan dua wanita Indonesia yang ditahan itu didapati positif dadah,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, ketika ini polis sedang menyiasat sama ada premis digunakan mereka untuk berpesta disewa atau dimiliki individu yang ditahan.
Katanya, polis akan memohon perintah reman hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sumber: Free Malaysia Today
Dadah Google News Tag Harian Metro Malaysiakini BM mymetro polis diraja malaysia Sinar Online