KUALA LUMPUR: Perbicaraan saman fitnah difailkan terhadap bekas ketua polis negara (KPN) Musa Hassan oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh akan diteruskan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk membatalkannya.
Peguam Yeoh, Ambiga Sreenevasan dan Lim Wei Jiet berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Rozanna Ali Yusof menolak permohonan Musa untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan ada isu yang perlu diperjelaskan menerusi perbicaraan penuh.
Mahkamah turut memerintahkan kos RM3,000 kepada Yeoh dan menetapkan pengurusan kes pada 2 April.
Yeoh memfailkan saman terhadap Musa tahun lalu berhubung dakwaan beliau cuba mengubah Malaysia menjadi negara Kristian. Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Jan 2020.
Musa yang menjadi KPN dari 2006 hingga 2010 didakwa memberitahu forum itu bahawa satu kumpulan yang tidak dinamakan cuba memusnahkan Islam di negara ini. Beliau turut mendakwa menemui kaitan antara kumpulan berkenaan dengan DAP.
Musa juga didakwa menyatakan bahawa Yeoh menulis buku “untuk menjadikan negara ini negara Kristian.”
Yeoh sebelum ini menerbitkan autobiografi bertajuk “Becoming Hannah, A Personal Journey”, iaitu kisahnya sebagai wanita Malaysia biasa yang mengalami perubahan hidup menerusi kepercayaannya sebagai Kristian, seterusnya membawanya menceburi dunia politik.
Buku itu dikritik pada Mei 2017 oleh pakar sains politik Universiti Utara Malaysia sebagai contoh hipokrit DAP yang sepatutnya memegang polisi mengasingkan agama serta politik.
Yeoh menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Musa, selain perintah injunksi untuk menghalangnya serta pihak lain daripada terus menerbitkan kenyataan berkenaan.
Musa memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Yeoh dengan mendakwa kenyataannya dibuat sebagai satu keistimewaan bersyarat kerana forum itu acara tertutup yang dihadiri kira-kira 100 orang.
Katanya, saman itu juga gagal menyatakan klausa tindakan munasabah terhadapnya.
Sumber: FMT