Mahathir ulang cerita dongeng DAP pasal ‘hunus keris,’ kata Najib

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:15 PTG
Najib menafikan beliau anti-Cina dan menghunus keris Umno - Foto The Star

Najib Razak menyelar Dr Mahathir Mohamad kerana cuba mengitar semula “cerita dongeng” DAP bersabit kenyataan hunus keris yang pernah dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pekan itu pada 1987.

Dalam kenyataan terbaru di Facebook, Najib berkata Mahathir sepatutnya menyangkal “apa yang saya jawab apabila dia kata dia tidak pernah campur tangan dalam sistem perundangan dan kehakiman”.

Najib kesal kerana Mahathir, sebaliknya, memilih untuk “mengulang cerita dogeng” mengenai isu ‘hunus keris’ itu.

Najib menegaskan beliau tidak rasis terhadap sebarang kaum, dan mengingatkan Mahathir bahawa “cerita dongeng” hunus keris itu sudah berkali-kali dinafikan, termasuk di Parlimen, malah DAP menganggap isu itu sudah selesai.

Najib berkata, beliau sudah tentu ditahan polis ketika itu jika benar beliau membuat kenyataan sedemikian tetapi ia tidak berlaku.

Beliau berkata Mahathir atau sesiapa jua harus kemukakan sebarang bukti beliau pernah ugut kaum Cina dan “jika tidak, kamu menjawablah di sana (akhirat)”.

“Tidak seperti kamu (Mahathir), saya tak rasis pada mana-mana kaum. Cuma ramai yang rasa kamu rasis terhadap orang Melayu sahaja,” kata Najib.

Najib berkata demikian selepas Mahathir mengungkit semula isu ‘hunus keris’ itu.

Mahathir berbuat demikian selepas Najib memperlekehkan kenyataannya bahawa beliau tidak pernah campur tangan dalam urusan badan kehakiman semasa menjadi perdana menteri keempat.