Lelaki fail rayuan penjara 1,050 tahun kerana rogol anak tiri dengan bantuan pegawai penjara

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:46 PG
Banduan penjara Kajang yang dipenjara 1,050 tahun kerana merogol anak tirinya berusia 12 tahun telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya dengan bantuan pihak berkuasa penjara Kajang. - Foto hisasan Reuters

Seorang lelaki yang dipenjara 1,050 tahun kerana merogol anak tirinya berusia 12 tahun telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya dengan bantuan pihak berkuasa penjara Kajang.

Peguam V Vemal Arasan berkata rayuan itu akan didengar sebaik hakim Mahkamah Sesyen Klang menyiapkan penghakiman bertulisnya.

“Hakim Mahkamah Tinggi di sini (Shah Alam) telah memindahkan prosiding ke Mahkamah Tinggi Klang,” katanya kepada FMT selepas pengurusan kes di depan Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Halim Aman hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Abdul Razak hadir bagi pihak pendakwaan.

Lelaki berusia awal 20-an itu dibawa ke mahkamah oleh pegawai penjara.

Peguam K A Ramu bulan lalu memfailkan semakan kes itu selepas keputusan berkenaan dilaporkan meluas oleh media.

Tertuduh didapati bersalah menyerang secara sxksual kanak-kanak bawah umur itu 105 kali selama dua tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen M Kunasundary pada 27 Jan mengarahkan tertuduh dipenjara 10 tahun bagi setiap 105 tuduhan terhadapnya, dengan hukuman diarahkan berjalan berturut-turut bermula dari tarikh tangkapnya pada 20 Jan. 

Beliau juga mengarahkan tertuduh turut dikenakan 24 sebatan.

Vemal yang membantu Ramu berkata, pihak berkuasa penjara memfailkan rayuan dalam had masa 14 hari ditetapkan, manakala satu lagi selepas tempoh itu.

“Kami kini akan mengambil alih kes itu kerana lelaki terbabit telah melantik kami untuk mewakilinya,” katanya.

Lelaki itu yang sebelum ini tiada peguam bela, melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling, Selangor, dari 5 Jan 2018 hingga 24 Feb 2020.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun, selain hukuman sebat. 

Sumber: Free Malaysia Today