Tidak seperti Umno zaman Merdeka dulu kini ramai pemimpin Umno menyertai parti disyaki untuk mencari kuasa dan rezeki kekayaan - Foto Umno Online |
oleh Hamid Ismail
Umno semakin riuh rendah tatkala semakin banyak suara-suara mereka yang berjawatan dalam parti itu mula mendesak teraju utama Umno melepaskan jawatan.Tidak kurang juga, ramai yang kian terbawa-bawa dengan perasaan marah lagi keliru dengan berita setiausaha agung Umno mahu ahli Parlimen Umno menyokong gesaan supaya sidang khas Parlimen diadakan berhubung proklamasi darurat.
Mereka berhak untuk berasa sedemikian kerana beberapa individu yang sama juga cuba untuk menjulang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, sekali gus, membawa balik DAP ke dalam kerajaan sedangkan pendirian Umno jelas - "No Anwar, No DAP".
Surat berkenaan yang bukan sahaja dilihat sebagai "menderhaka kepada Agong", malah tindakan yang didalangi enam ahli Parlimen Umno ini ternyata membelakangkan dasar dan pendirian parti sendiri semata-mata terjerat dengan banyak pertuduhan mahkamah dalam serba kebimbangan dijatuhkan hukuman penjara.
Namun, umum menyedari mereka ini berada dalam 'kluster mahkamah' atau lebih galak untuk mendapat jolokan 'Enam Jahanam'.
Sejak kebelakangan ini, nampaknya, usaha kluster ini semakin hari semakin naik tocang untuk melihat kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional walaupun jumlah ahli-ahli Parlimen yang bersekongkol menulis surat menyokong Anwar sebagai PM kepada Yang di-Pertuan Agong kian berkurangan.
Jika sebelum ini dengar-dengar cerita, jumlah ahli-ahli Parlimen Umno itu berkurangan kepada enam sahaja.
Maka itu, wajar untuk PM mula memulakan langkah sewajarnya terhadap 'Enam Jahanam' ini kerana jika mereka itu terus dibiarkan, sikap yang menggila oleh mereka ini akan semakin menjadi-jadi dengan sanggup untuk menyalah gunakan jawatan untuk kepentingan peribadi.
Dalam banyak-banyak pilihan, antara tindakan yang boleh dilakukan PM ialah memberi pengiktirafan berpadanan kepada pimpinan Umno untuk 'mengawal' Enam Jahanam ini menerusi lantikan jawatan timbalan perdana menteri yang sememangnya layak sebagai parti terbesar dalam kerajaan.
Ketika menjelangnya usia setahun kerajaan PN pada bulan hadapan semenjak 'Langkah Sheraton' yang berjaya menyingkirkan DAP dari Putrajaya, kerajaan sepatutnya dilihat semakin gah lagi berdaya untuk menempuh musuh dan virus yang tampak atau sebaliknya.
Tetapi, yang berlaku adalah sebaliknya, kerajaan hilang majoritinya dan senario tersebut diburukkan dengan adanya '6 Jahanam' ini yang boleh dikatan 'lebih membangkang dari pembangkang' sendiri serta sering menuruti jejak langkah ketua pembangkang.
Sampaikan tersiarnya berita, '6 Jahanam' ini jugalah antara mereka yang menggerakkan kempen menandatangani akaun bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai perdana menteri yang baru serta kini, sekali lagi menuruti 'arahan' Anwar.
Langkah seterusnya, akar umbi Umno yang bakal membuat pemilihan dan mengundi memilih barisan kepimpinan baru pada tahun ini boleh mula mengadakan sesi penerangan bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dalam Umno dewasa ini.
Biar ahli-ahli nampak keperluan 'merehatkan' pimpinan Umno terdesak kerana sedang berdepan banyak pertuduhan di mahkamah dengan keutamaan untuk mengelakkan para pemimpin terutama yang ada dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno menggunakan jawatan mereka untuk manfaat peribadi masing-masing.
Dalam pada rakyat semakin merasai keluh-kesah ekoran kesan PKP 2.0 yang sedang berjalan sehingga mencetuskan istilah seperti [hashtag] #sibodohkaudengarsini yang jelas ditujukan kepada menteri, kerunsingan umum boleh diredakan jika suhu politik semakin stabil.
HAMID ISMAIL adalah dari Umno Kepong.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaStyloNews. Artikel surat terbuka ini pertama kali disiarkan oleh Malaysiakini BM.
cybertrooper umno Free Malaysia Today Malaysiakini BM najib razak Politik PRU15 rosmah mansor Sinar Harian Tan Sri Muhyiddin Yassin umno zahid hamidi