IPOH: Seramai 14 individu ditahan ketika leka berjudi sabung ayam di kawasan kebun di Taman Impiarna Adril dekat Menglembu, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam serbuan 11.45 pagi itu semua yang ditahan berusia antara 26 hingga 71 tahun.
“Siasatan awal mendapati perjudian sabung ayam ini berlangsung sebanyak lima kali.
“Ayam akan bersabung 20 minit sekali pusingan dan masing-masing akan letakkan pertaruhan dengan jumlah antara RM500 ke RM1,000,” katanya seperti dilapor FMT.
Katanya, semua tangkapan turut dikenakan kompaun kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ditahan di lokap polis Jelapang.
Antara ayam yang dirampas dalam serbuan itu. (Gambar IPD Ipoh) |
Asmadi berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas lima ayam sabung, lima sangkar, satu jam penggera digital, dua gulung kertas kotak (gelanggang), empat kerusi serta wang tunai berjumlah RM25,078.