Kritikan Daim ‘berbahaya’ kepada Muhyiddin...

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:32 PG
Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Perak Insight

Datuk A Kadir Jasin, ‘menasihati’ Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menghadamkan saranan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang menegur kerajaan Perikatan Nasional.

Bekas penasihat media Tun Mahathir, Kadir Jasin turut menggesa perdana menteri Muhyiddin  memberi tunjuk ajar kepada anggota kabinet Perikatan Nasional (PN) seperti dikritik Daim dalam temu bualnya dengan portal berita Free Malaysia Today.

Jelas Kadir, kritikan Daim itu ‘berbahaya’ kepada Muhyiddin kerana ahli politik veteran itu masih mempunyai pengaruh yang luas selain sebahagian orang, Muhyiddin adalah “budak-budak Daim”.

“Jadi eloklah Muhyiddin baca, hadam dan faham teguran dan kritikan Daim itu.

“Cubalah kawal dan bagi tunjuk ajar kepada menteri-menteri beliau yang nampak belum ada arah tujuan walaupun sudah satu tahun pegang jawatan,” kata Kadir seperti dilapor Malaysiakini yang memetik hantaran beliau di media sosial.

Terdahulu Daim dilapor FMT berkata, kerajaan PN ketika ini dilihat tidak berfungsi dengan cekap serta terumbang-ambing mentadbir negara ketika menghadapi wabak Covid-19.

Daim turut menyoal tiadanya penyelarasan gerak kerja pentadbiran PN untuk menangani Covid-19. Misalnya, kata Daim, isu sambungan internet dan pembelajaran murid dari rumah.

Menurut Kadir dengan apa yang berlaku sebelum ini Muhyiddin juga sepatutnya sedar bagaimana Daim “menyelamatkan ekonomi negara” sewaktu Malaysia dilanda krisis ekonomi.

Kali pertama katanya pada 1980-an sebelum Daim melakukannya sekali lagi ketika krisis mata wang Asia pada akhir 1990-an.

“Muhyiddin pun tentu tahu yang Daim memainkan peranan ‘menyelamatkan’ Pakatan Harapan (PH) pada saat-saat genting pada malam 9 dan pagi 10 Mei, 2018,” katanya.

Kadir turut berpendapat Muhyiddin patut berasa malu dengan apa yang berlaku di negara ini.

Kata bekas penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad itu menambah kegagalan menteri berfungsi dengan berkesan memberi kesan kepada imej negara.

“Kalau Muhyiddin dan konco-konconya tak malu kepada dunia, itu hal merekalah.

“Tapi rakyat jelata malu dan negara sedang menderita akibat rebutan kuasa yang mereka lakukan,” katanya dipetik Malaysiakini.