SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Feb ini pengurusan kes susulan permohonan semakan semula hukuman penjara 1,050 tahun ke atas seorang lelaki kerana merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun.
Peguam K Ramu berkata, beliau menerima surat dari mahkamah hari ini memaklumkan kes itu akan dibawa ke depan seorang penolong pendaftar kanan.
Ramu, yang mengendalikan kes itu atas dasar pro bono, memfailkan permohonan minggu lalu setelah hukuman itu dilaporkan secara meluas oleh media.
“Kami memfailkan semakan semula kes kerana hukuman itu jelas tidak masuk akal,” katanya kepada FMT.
Ramu, yang akan dibantu V Vemal Arasan, berkata semakan difailkan dan bukannya rayuan kerana mereka tidak mendapat arahan daripada tertuduh.
“Kami tidak tahu dia dipenjarakan di mana sekarang dan tidak dapat menemuinya akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 di penjara,” katanya sambil menambah beliau akan memohon tertuduh hadir pada 23 Feb untuk mendapatkan arahan lanjut daripadanya.
Pada 27 Jan lalu, seorang hakim Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara itu dan 24 sebatan kepada penganggur terbabit kerana merogol seorang remaja bawah umur sebanyak 105 kali dalam tempoh dua tahun.
M Kunasundary memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan untuk setiap 150 pertuduhan, dengan hukuman dijalankan berturut-turut dari tarikh dia ditahan pada 20 Jan lalu.
Lelaki itu, yang tidak diwakili peguam, melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya dari 5 Jan 2018 hingga 24 Feb 2020.
Namun, Seksyen 376B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, beserta sebatan.
Seorang peguam yang ditemui FMT baru-baru ini menyifatkan hukuman itu tidak masuk akal.
Sumber: FMT