Tajuk perbincangan pemimpin politik pembangkang “Relevankah PRU-15 Tahun 2021” diadakan pasca Covid-19. |
AMANAH berpendapat, pilihan raya umum tidak perlu diadakan sekarang walaupun Covid-19 telah selesai dengan adanya vaksin kerana tempoh penggal yang ada masih panjang.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, apa yang perlu diadakan sekarang adalah sidang Parlimen selepas Yang Dipertuan Agong menitahkan Parlimen boleh berbuat demikian ketika perintah darurat diisytiharkan.
“Kita mahu Parlimen bersidang. Yang pertama untuk sahkan keabsahan perdana menteri dan kerajaan yang ada.
“Jika PM dan kerajaan yang ada sekarang tidak sah atau tidak cukup majoriti, maka kerajaan baru perlu dibentuk.
“Kita tidak perlu adakan pilihan raya sehingga membazirkan wang rakyat dengan keadaan tempoh penggal yang masih panjang ini,” katanya.
Bagi beliau, inilah cara yang paling praktikal untuk dilakukan oleh negara ketika semua pihak memerlukan wang untuk memulihkan ekonomi selepas Covid-19.
“Kerajaan baru boleh dibentuk. Menteri Kesihatan yang lebih cekap boleh dilantik.
“Di Parlimen pula, kita hanya perlu pindah meja atau tempat duduk sahaja. Tak perlu sewa lori untuk pindah,” kata Salahuddin ketika menjadi penal dalam program The Perpektif bersama Asmirul yang dikendalikan oleh Mohd Asmirul Anuar Aris, bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah.
Turut serta menjadi penal dalam bualbicara yang diadakan malam tadi itu adalah Datuk Seri Shafie Apdal (Presiden Warisan) dan Datuk Seri Utama Muhkriz Mahathir (Presiden Penaja Pejuang).
Tajuk perbincangan mereka adalah “Relevankah PRU-15 Tahun 2021” diadakan.
Menurut Salahuddin, kerajaan dan PM yang ada tidaklah perlu bergayut di pagar istana dalam menentukan kedudukannya.
Mereka juga, kata ahli Parlimen Pulai itu tidak boleh menjadikan vaksin Covid-19 yang sedang diberikan sekarang sebagai gula-gula politik pula.
“Jangan bergayut di pagar istana. Jangan berselindung di sebalik Covid-19. Jangan jadikan vaksin Covid-19 sebagai gula-gula politik,” kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
Perkara yang paling wajar dibuat sekarang adalah mengesahkan bahawa kerajaan yang ada ini ada majoriti yang cukup.
Ini kerana, sebelum ini telah diketahui umum bahawa kerajaan yang ada telah tidak sah selepas hilang majoriti apabila hanya ada 109 penyokong dari 222 ahli Dewan Rakyat.
Ia berlaku selepas dua ahli Parlimen BN dari Umno mengumumkan tidak lagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
“Ini perlu disahkan dulu melalui sidang Parlimen dan Yang Dipertuan Agong telah nyatakan darurat tidak menghalang sidang Parlimen diadakan,” kata beliau.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata, pilihan raya umum akan diadakan sebaik sahaja masalah Covid-19 berjaya diselesaikan.
Ini berikutan tekanan dari Umno yang mendesak pilihan rayan umum diadakan bagi membolehkan kerajaan yang stabil boleh dibentuk.
Namun, adakah pilihan raya umum boleh menentukan kerajaan yang stabil terbentuk. Inilah persoalan yang sering ditanya oleh pelbagai pihak.
Kos untuk adakan pilihan raya tahun juga dijangka meningkat sehingga 50 peratus atau RM1.5 bilion berbanding sebelum ini sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat berikutan keperluan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) 2.0, Thomas Fann berkata, peningkatan kos itu berlaku kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat penambahbaikan terhadap semua aspek perjalanan pilihan raya.
Menurutnya, jika PRU tanpa SOP baharu, ia dianggarkan hanya menelan belanja sekitar RM1 bilion atau kurang daripada itu.
Sumber artikel: MalaysiaDateline
Free Malaysia Today Malaysiakini BM Pakatan Harapan Perikatan Nasional Politik PRU15 Tan Sri Muhyiddin Yassin