Hadi alami sesak nafas, dari hospital Putrajaya pindah ke IJN

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:14 PTG
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dikejarkan ke Hospital Putrajaya setelah mengalami sesak nafas malam tadi.

Abdul Hadi kemudian dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pada pukul 9.30 malam dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary di Facebook.

"Doktor memaklumkan bahawa keadaannya stabil. Jantung beliau lemah berkemungkinan disebabkan dalam keadaan penat," katanya.

Pagi ini, anaknya yang juga Adun Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan bapanya kini dalam keadaan stabil.

"Saya baru bercakap dengan ayahanda tuan guru sebentar tadi. Keadaannya stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.

"Mohon doa dari semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah," katanya kepada Malaysiakini.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga menyatakan perkara sama dan berharap semua pihak dapat mendoakan kesihatan Ahli Parlimen Marang itu.

Abdul Hadi, 73, pernah menjalani pembedahan menggantikan injap jantung di IJN pada 2017.

Minggu lalu, beliau menyatakan kesediaannya untuk menjadi kalangan pertama yang menerima vaksin Covid-19.

Katanya, ia ia sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi wabak tersebut.