Guru ditipu Macau Scam buat pinjaman peribadi rugi RM115,000

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:18 PG
Guru tersebut diarahkan untuk membuat pinjaman peribadi dari bank dengan alasan kononnya dia perlu mempunyai rekod kewangan yang kukuh. - Foto Astro Awani

ALOR SETAR: Seorang guru wanita kerugian RM115,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam di Kulim baru-baru ini.

Astro AWANI melaporkan mangsa berusia 41 tahun yang sudah berkahwin diarahkan membuat pinjaman peribadi sebelum sebahagian besar wang pinjaman itu dicuri aripada akaunnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa menerima panggilan telefon pada 7 Februari lalu daripada seorang individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa kononnya dia mempunyai tunggakan cukai syarikat.

"Mangsa pada mulanya menafikan berhubung cukai berkenaan namun panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membuat semakan.

"Panggilan itu kemudian disambung pula kepada seorang yang menyamar pegawai polis bergelar Datuk dari IPK Pahang, kononnya pegawai atasan kepada inspektor berkenaan.

"Suspek kemudian meminta mangsa membuka aplikasi WhatsApp sebelum mangsa menerima satu mesej dengan notis yang mendakwa dia terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah," katanya.

Beliau berkata, pada 8 Februari lalu, mangsa diarahkan untuk membuat pinjaman peribadi dari bank dengan alasan kononnya dia perlu mempunyai rekod kewangan yang kukuh.

Elias berkata, mangsa kemudian membuat permohonan pinjaman sebanyak RM133,080.90.

"Mangsa kemudian diarahkan untuk membuka satu pautan dan kemudian memuat turun satu aplikasi yang kononnya berkaitan Bank Negara seterusnya mengisi maklumat peribadi dan perbankan," katanya.

Beliau berkata, pada 15 Februari lalu, wang sebanyak RM133,080.90 dikreditkan ke dalam akaunnya selepas permohonan pinjamannya diluluskan lalu dia menghubungi suspek untuk memberitahu perkara itu.

Elias berkata, pada 16 Februari, mangsa cuba untuk log masuk ke dalam akaun perbankan dalam talian miliknya sebelum menyedari ia disekat lalu menghubungi bank dan dimaklumkan terdapat pemindahan wang sebanyak RM115,000 ke akaun pihak ketiga.

Berikutan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kulim malam tadi dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.