KUALA LUMPUR: Grabcar telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman oleh Persatuan Teksi Malaysia, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang yang mendakwa periuk nasi anggotanya terjejas dan menjadi mangsa persaingan tidak adil oleh pengendali e-panggilan.
Grabcar Sdn Bhd memfailkan permohonan itu pada 8 Feb bersama-sama dengan afidavit sokongan ketua operasi syarikat itu Abdul Rashid Abdul Shukor.
Peguam R Kengadharan, yang mewakili persatuan itu, berkata pihaknya diberi tempoh sehingga 2 Mac untuk memberi maklum balas terhadap tuntutan pembatalan itu.
Pengurusan kes akan diadakan pada 30 Mac di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismail.
Permohonan pembatalan itu adalah berdasarkan tujuh persoalan undang-undang, antaranya sama ada pertubuhan yang didaftarkan sebagai sebuah persatuan itu, memiliki kedudukan yang sah mengikt undang-undang untuk mendakwa bahawa semua pemandu teksi dan kereta sewa yang terjejas adalah ahlinya.
Pertanyaan utama lain yang diajukan adalah sama ada persatuan itu sepatutnya membuat permohonan semakan kehakiman terhadap badan berkanun awam yang berkenaan.
Rashid berkata sekiranya semua pertanyaan itu memihak kepada Grabcar, maka saman berkenaan adalah sembrono, rumit dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Grabcar bulan lalu juga telah memfailkan pembelaannya sebagai tindak balas terhadap tuntutan tersebut.
Dalam saman yang difailkan oleh 15 pemegang jawatan persatuan itu atas nama 10,000 anggota, plaintif mendakwa aktiviti Grabcar tanpa lesen yang sah di negara ini antara 2014 dan 2017 adalah sama seperti “mencuri perniagaan mereka”.
Dalam pernyataan tuntutan itu, ia mengatakan bahawa kegiatan Grabcar melanggar Perlembagaan Persekutuan, Akta Persaingan 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan 2012 yang dipinda.
Plaintif selanjutnya berkata bahawa perkhidmatan e-panggilan tidak diberi sebarang pengecualian di bawah Akta Persaingan untuk menjalankan perkhidmatan tersebut di antara 16 Mei 2014 dan 27 Jul 2017.
“Tindakan defendan melanggar hak untuk mencari nafkah, hak dan kepentingan pemandu teksi,” kata mereka.
Plaintif meminta ganti rugi jumlah tertentu, am, teruk, teladan dan punitif berjumlah RM100 juta. - FMT