Anggota tentera diserang hendap letupan bom paip dan tembakan lebih 15 penyerang. |
Ketua Polis Ra-ngae Piyapak Thongpanlertkun berkata dalam kejadian pada 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam sebuah khemah selepas melakukan rondaan di kawasan tersebut dikejutkan dengan beberapa letupan.
Beliau berkata sekumpulan individu kemudian mula melontarkan bom paip buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah khemah itu.
“Insiden berbalas tembakan antara renjer dan kumpulan penyerang berlanjutan kira-kira lima minit sebelum kumpulan penyerang beredar dari tempat kejadian.
“Seorang renjer meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Ra-ngae. Seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kumpulan penyerang terdiri daripada sekurang-kurangnya 15 individu.
“Kumpulan itu turut melarikan tiga laras senapang milik anggota renjer yang sedang bertugas,” katanya sambil menambah pasukan keselamatan sedang mempergiat usaha untuk menjejaki suspek yang terlibat.
- BERNAMA