Bekas pengurus kanan MDEC terima RM800,000 atas pemecatan tidak adil

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:02 PTG
Mahkamah Perusahaan memutuskan MDEC dengan sengaja bertindak memberi tekanan kepada seorang bekas pengurus kanannya. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Perusahaan di sini mengarahkan kira-kira RM800,000 dibayar kepada seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipecat secara tidak adil.

Pengerusi mahkamah itu, Augustine Anthony berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) gagal membuktikan prestasi buruk sebagai alasan untuk memecat Thomas Kuruvilla.

Kuruvilla mendapat RM572,208 sebagai gaji terdahulu dan RM238,420 sebagai pampasan bagi menggantikan pengembalian jawatannya.

Anthony berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira Kuruvilla tidak mempunyai pendapatan selepas dipecat dan masih menganggur.

Menteri sumber manusia merujuk kes itu ke tribunal, selepas Kuruvilla mendakwa beliau dipecat MDEC pada 15 Mei 2018.

MDEC diberi mandat oleh kerajaan untuk mendorong sumbangan ekonomi digital kepada negara dan membina masa depan digital untuk negara.

Kuruvilla, yang diwakili TM Varughese, mula bekerja dengan syarikat itu pada 17 Sept 2007 sebagai pengurus kanan Organisasi dan Kaedah di Bahagian Pembangunan Organisasi.

Hingga 2014, beliau secara konsisten mencapai prestasi kerjanya dengan memenuhi jangkaan syarikat.

Anthony berkata, berdasarkan semua bukti yang ada, beliau mendapati kandungan surat bertarikh 15 Mei 2018 mengenai prestasi buruk Kuruvilla tidak menggambarkan keadaan sebenar semasa Pelan Peningkatan Prestasi (PIP) kedua.

“Mahkamah tidak yakin pihak yang menuntut itu diberi masa secukupnya untuk menyelesaikan tugas yang diberikan kepadanya.

“Mahkamah juga tidak yakin syarikat tersebut memberikan bantuan dan sokongan sepatutnya kepada pihak yang menuntut sepanjang PIP,” katanya dalam penghakiman setebal 55 muka surat.

Anthony berkata, ada bukti untuk menyokong syarikat itu, yang diwakili Shariffullah Majeed dan Amardeep Singh Toor, tidak mematuhi polisi dan amalan sendiri ketika berurusan dengan pihak yang menuntut dalam hal pengurusan prestasi.

Katanya, ia adalah tindakan memangsakan pihak menuntut untuk meletakkannya dalam PIP tanpa rancangan dan jangka waktu tepat bagi menyelesaikan tugas.

Oleh itu, beliau berkata, tidak adil bagi syarikat tersebut menyatakan Kuruvilla gagal meningkatkan prestasi kerjanya secukupnya, walaupun peluang dan peringatan diberikan kepadanya.

Anthony berkata, Kuruvilla sering dipindahkan dalam tempoh kurang empat tahun dan ini adalah bukti jelas beliau di bawah tekanan melampau.

Katanya, ini turut menyebabkan halangan dan tekanan dalam prestasi Kuruvilla.

“Tindakan kumulatif syarikat mengakibatkan pihak yang menuntut tidak mendapat bantuan untuk meningkatkan prestasinya, sebaliknya mendorong kemerosotan prestasinya.” - FMT