Bekas pengerusi Mara Inc mengaku tak bersalah 20 tuduhan rasuah berkait hartanah di Australia

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:57 PTG
Bekas pengerusi MARA Incorporated (Mara Inc), Mohammad Lan Allani - Foto FMT

 KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi MARA Incorporated (Mara Inc), Mohammad Lan Allani, mengaku tidak bersalah atas 20 tuduhan rasuah dan dua tuduhan pengubahan wang berjumlah RM20.45 juta, membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.

Lan, 65, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di dua Mahkamah Sesyen.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran Pejabat Peguam Negara bagi mendakwa suspek, dengan 22 pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia; dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.

Hari ini, tertuduh didakwa atas 17 pertuduhan menerima suapan, tiga pertuduhan cuba menerima suapan, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, antaranya bagi meluluskan kertas cadangan “Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia” antara 2012 dan 2013.

Mahkamah menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan semula kes, dan membenarkan ikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin, iaitu anak Lan sendiri. Pasportnya diserahkan kepada mahkamah, sehingga kes selesai.

Lan diwakili oleh Peguam Hisyam Teh Poh Teik, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib.