Azmin doakan Hadi sembuh untuk memimpin umat

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:09 PTG
Kenyataan Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin Ali - Foto Sinar Harian

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendoakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikurniakan kesembuhan dan diberikan kesihatan untuk terus memimpin umat.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu berkata, beliau secara peribadi mengenali Abdul Hadi sebagai seorang pejuang tabah dan murabbi ummah yang tuntas dalam pembangunan umat demi menyemarakkan syiar Islam.

“Peranan beliau dalam pembentukan PN adalah amat signifikan khususnya untuk menggembleng persefahaman bagi menjamin kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Saya menyeru semua pihak untuk sama-sama mendoakan kesihatan Tuan Guru agar kembali pulih untuk meneruskan perjuangan demi kemaslahatan umat,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal minggu ini, Abdul Hadi dilaporkan dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya akibat sesak nafas.

Doktor memaklumkan bahawa keadaan Abdul Hadi stabil namun jantung beliau lemah berkemungkinan disebabkan dalam keadaan penat.

Katanya, doktor telah memaklumkan bahawa Abdul Hadi dirujuk ke Institut Jantung Negara untuk rawatan susulan. Beliau juga akan membuat ujian swab di Institut Jantung Negara.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak bersyukur mendapat perkhabaran bahawa Abdul Hadi berada dalam keadaan stabil dan mendapat khidmatan rawatan yang terbaik.