Annuar tak salah ‘langgar’ SOP cuma duduk sebentar, Puad kata alasan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:39 PTG
Pemimpin Umno, Puad Zarkashi berkata, Annuar Musa melanggar SOP PKP kerana duduk semeja bersama enam yang lain sedangkan SOP PKP hanya membenarkan dua orang. -Foto GemilangDaily

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi membidas Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa kerana tidak mengaku salah selepas didakwa melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Puad berkata, budaya orang yang tidak mahu mengaku salah ialah “budaya mencari alasan”.

“Ada sahaja alasan yang diberi untuk tidak mahu mengaku salah.

“Annuar Musa dituduh melanggar SOP PKP kerana makan semeja bersama enam yang lain sedangkan SOP hanya benarkan dua orang sahaja,” kata seperti dilapor FMT.

Semalam Annuar berdepan satu lagi tuduhan melanggar SOP PKP berikutan gambar beliau bersama enam yang lain duduk di dua meja jamuan tular di media sosial.

Gambar itu memaparkan sepanduk menyambut Annuar ke Program Pertanian Bandar bertarikh semalan digantung di belakang menteri.

Puad berkata, sekali lagi Annuar memberi alasan bahawa beliau cuma “duduk sebentar” sebelum bergegas pergi kerana penganjur tidak mematuhi SOP.

“Kalau sudah tahu tidak ikut SOP kenapa duduk juga di situ walau sebentar. Mana logiknya?” soal Puad.

Puad berkata sebelum ini Annuar ingkar SOP kerana beliau dilihat berjoging lebih dua orang.

Beliau berkata, Annuar memberi alasan kononnya mereka bertiga (dalam gambar tular) datang dari arah berbeza, tetapi bertembung secara tidak sengaja.

“Pandai cari alasan. Soalnya kenapa terus jalan bersama?

“Jangan tambah koyak imej Perikatan Nasional (PN) yang semakin terkoyak,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Dalam perkembangan sama hari ini, Penganjur program pertanian bandar yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa memohon maaf kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah memohon maaf kepada Annuar dan orang ramai kerana gagal mematuhi SOP ketika menjemput menteri melawat tapak projek komuniti mereka.

"Saya bagi pihak masyarakat di sini meminta minta maaf kepada Tan Sri (Annuar) dan rakyat Malaysia. Kita akui itu kelemahan kita.

"Bila Tan Sri datang kita jemput dia minum di pondok kebun pertanian dalam bandar kita, itu pun sekejap saja.

"Tan Sri dah ingatkan (gambar tak patuh SOP) nanti akan tular, sebab itu dia cepat-cepat berlalu," kata pengerusinya, Zainuddin Amran yang memaklumkan sudah diambil keterangan oleh pihak polis.