Keputusan polis merujuk kes dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa ke Pejabat Peguam Negara disifatkan sebagai ‘mengarut’,” kata seorang Ahli Parlimen DAP.
Portal FMT turut melaporkan, Ramkarpal Singh menyifatkan keputusan untuk tidak mengenakan kompaun terhadap Annuar sebagai ‘dwistandard’.Katanya, Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 menetapkan bahawa mana-mana pegawai awam boleh mengenakan kompaun tidak lebih daripada RM1,000 untuk kesalahan di bawah Akta tersebut.
Ribuan pesalah SOP telah didakwa di bawah seksyen itu, katanya, sambil mempersoalkan: “Mengapa Annuar tidak dikenakan kompaun seperti yang lain?”
“Mengapa kes Annuar berbeza hingga ia perlu sampai ke Peguam Negara?”
“Seperti orang lain, jika dia melanggar SOP, kenakan kompaun sama seperti anda mendenda pesalah lain, jika tidak, anda mungkin dilihat mengamalkan ‘dwistandard’ dengan membezakan layanan terhadap ahli politik dan rakyat biasa,” katanya Ramkarpal dipetik FMT.
Hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata Annuar tidak akan dikenakan kompaun kerana didakwa melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Walaupun gambar Annuar bersama beberapa yang lain di meja makan telah menjadi tular, Saiful berkata polis masih mengumpulkan kenyataan dari pihak lain untuk mendapatkan lebih banyak fakta dan bukti mengenai kes tersebut.
Katanya, ia kemudian akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara sambil menambahkan kes itu tidak semudah “hanya bayar RM1,000, kemudian selesai”.
Dalam gambar yang dikongsikan meluas di media sosial Sabtu lalu, Annuar Musa dilihat makan di meja bersama enam individu lain semasa lawatannya ke projek pusat komuniti di Cheras pada Jumaat lalu.
Peraturan PKP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan hanya dua orang saja dibenarkan duduk di setiap meja di premis ketika makan.