Aku diugut berhenti jika tidak ke dalam, luah Zahid

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:59 PG

Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini menulis keluhan berkenaan cabaran membina kembali Umno selepas tewas dalam pilihan raya umum 2018.

Zahid Hamidi  bermadah mendakwa berdepan ugutan supaya berhenti “bertukang” - yang mungkin dimaksudkan dengan membina kembali Umno.

Tanggal 9 Mei 2018 musuh tertawa melihat 'rumah agam' UMNO roboh. 

Puas hati melihat ahli UMNO yang setia kesedihan. Yang kurang setia bagai ayam disambar helang. 

Takdir ilahi aku dipilih mengenggam bara api perjuangan memahat tiang agar kembali berseri. 

Jangan tuduh diri yang serakah. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. 

Namun amanah dan baiah kepada Tuhan azimat penguat semangat. 

Baru saja mula memahat diugut rakan supaya beredar atau ada yang akan meninggalkan saf. 

Tidak lama selepas beredar mereka mufaraqah jua. Ternyata cuma alasan. Ugutan itu dusta. 

'Rumah agam' lain tersedia. Buat apa susah-susah. Selamat tinggal mungkin kerana dirimu begitu berharga. 

Itu mengikhtisarkan pengalaman 6 bulan bercuti atau lepas jawatan bukan penyelesaian. 

Sesiapapun yang diamanahkan akan mereka gasak supaya tiang kekal tidak berseri, kerana itu matlamat utama mereka.

Sekembali memahat, diugut pula seteru supaya henti bertukang. Jika tidak ke dalam kau rasakan.

Pedulikan. Aku percaya keagungan Tuhan. Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Melindungi.

Mereka takutkan bayang-bayang. Mereka tahu 'rumah agam' UMNO sedang dipulih. 

Mereka takut dan resah mahu mengagalkan. Namun aku yakini kudrat ini tidak akan pernah berhenti. - Zahid Hamidi Facebook

Sumber yang dekat Zahid memberitahu Malaysiakini bahawa tulisan itu ditujukan kepada tiga pemimpin kanan Bersatu.

Zahid sebelum ini beliau memohon maaf kepada orang ramai jika isu-isu rakyat dibangkitkannya tidak dilayan pihak berkuasa yang dikuasai Bersatu - walaupun memegang jawatan tinggi Presiden Umno dan Pengerusi BN, dia tidak memegang kuasa pembuat keputusan dan polisi.

Untuk rekod, Zahid Hamidi menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan bermula 12 April tahun depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zahid, pada 23, November 2020 mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Zahid juga didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.