Empat individu ditemui mati dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di No 18, Jalan USJ 2/5A USJ 2, Subang Jaya, dekat sini, awal pagi Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, setakat ini identiti kesemua mangsa belum dapat dipastikan.
Menurutnya, tiga mangsa ditemui di dalam bilik tidur manakala seorang lagi mangsa ditemui dalam bilik air.
Katanya, dalam kebakaran yang bermula kira-kira 5.30 pagi itu 80 peratus daripada rumah berkenaan musnah terbakar.
"Kebakaran dapat dikawal kira-kira 6 pagi tadi. Seramai 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Seksyen 7 terlibat dalam memadam kebakaran berkenaan," katanya. - Bernama