Saman oleh bekas pengurus Zizan ditolak mahkamah.

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1:57 PG

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak tuntutan saman yang dikemukakan oleh bekas pengurus peribadi Zizan Razak terhadap pelawak itu berhubung pelanggaran kontrak.

Keputusan itu dibuat Hakim, Roshbiahanim Ariffin sebentar tadi.

Mahkamah turut menolak tuntutan balas yang dikemukakan Zizan Razak pada 6 Jun tahin lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 5 November 2014, Marina Juki memfailkan saman terhadap Zizan yang dinamakan sebagai defendan tunggal atas dakwaan pelawak terbabit telah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat televisyen berbayar sebelum kontrak bersama Wire Fame tamat.

Tindakan tersebut didakwa telah menyebabkan beliau kehilangan komisen sebanyak 15 peratus di atas pendapatan Zizan bermula Mei 2014 iaitu selepas pelawak terbabit menandatangani kontrak baharu.

Zizan selaku pengarah syarikat Wire Fame didakwa juga enggan menandatangani cek pembayaran komisen bagi kerja-kerja yang telah dilakukan pada 2013 dan 2014.

Oleh itu, Marina menuntut ganti rugi khas sebanyak RM535,500 dan ganti rugi am yang akan ditaksirkan kemudian selain faedah, kos dan relif-relif lain.

Beliau turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Zizan meneruskan kontrak baharunya memandangkan pelakon utama filem Abang Long Fadil itu masih mempunyai kontrak dengan Wire Fame.