Rudi Hantoro tiba dengan beca lengkap dengan sistem bunyi dan skrin video di bandar Depok, sekitar Jawa. - Gambar AFP
JAKARTA - Jika dahulu karaoke dipandang serong masyarakat Indonesia kerana sering dikaitkan dengan alkohol dan pelacuran, kini imejnya berubah dan semakin diterima ramai sebagai satu bentuk hiburan arus perdana di negara majoriti Muslim itu.
Karaoke, aktiviti nyanyian mengikut lagu yang diputarkan dalam bilik peribadi, masih popular di kelab malam, tetapi kini dijadikan pilihan bagi penumpang yang menaiki pengangkutan awam.
Dari beca, bas hinggalah ke keretapi istimewa untuk berkaraoke, peminat muzik di Indonesia kini ada pelbagai pilihan untuk hobi mereka, lapor agensi berita AFP.
Pengusaha beca, Rudi Hantoro, sanggup mengubah suai beca roda tiganya dengan sistem bunyi yang lantang dan skrin kecil yang memainkan video dan lirik lagu.
“Karaoke ini untuk semua, pemandu teksi, suri rumah, pelajar dan pemandu teksi,” kata Rudi, 65, sambil seorang lelaki bercacah menyanyikan lagu “rock kapak” di kenderaannya bersama rakan-rakan yang turut menari.
[ads-post]
Hantoro mengayuh “Beca Karaoke” miliknya disekitar Depok, di Jawa, mencari penumpang, adakalanya singgah ke rumah pelanggan, atau meletakkan becanya di satu simpang bagi membolehkan orang ramai mencuba bakat suara, kebanyakannya pemandu bas.
Menawarkan harga murah — tiga lagu dengan harga 5,000 rupiah (RM1.50) atau tujuh lagu 10,000 rupiah (RM3) — beliau menawarkan pelbagai genre seperti rock Indonesia, lagu klasik Inggeris dan dangdut, yang dikenali dengan lirik lucah dan tarian menggurkan.
“Jika saya bergaduh dengan bini, saya akan menyanyi lagu sedih di sini,” kata Abdul Haris Jamaludin, 28, seorang pemandu bas mini.
Ada juga karaoke yang ditawarkan atas keretapi, disewa oleh golongan berada yang mahu mengadakan parti dengan harga 20 juta dan 40 juta rupiah, dan mereka boleh menikmati hiburan sepanjang perjalanan sekitar kepulauan Jawa dan beberapa laluan lain.
Di Jakarta pula, bus “Royale VIP” dilengkapi dengan mesin karaoke, lantai menari, dan lampu laser disediakan sebagai hiburan sepanjang menempuh perjalanan trafik bandar yang sering “macet”, atau sesak.
Ada juga yang menawarkan sistem karaoke dari rumah ke rumah dikenali “Splash Mobile Karaoke” termasuk untuk majlis perkahwinan, hari jadi, perpisahan dan perjumpaan semula.
Walaupun golongan Muslim moderat di Indonesia rata-rata menerima karaoke, namun masih ada golongan konservatif yang melihat bentuk hiburan itu sebagai satu dosa.
Sesetengah kelab malam pula terpaksa menutup pusat karaoke semasa bulan puasa Ramadan kerana takut diserang golongan tegas, namun itu tidak menghalang industri daripada terus berkembang. - TMMO/Agensi/MRM