Lantai jubin rumah pecah akibat haba terlalu panas

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:24 PG

Seorang anggota bomba memeriksa lantai rumah seorang penduduk di Taman Wing Onn, Ipoh yang mengalami keretakan secara tiba-tiba akibat peningkatan haba, 21 Februari, 2016. — Foto Bernama

IPOH  — Lantai jubin rumah seorang penduduk di Taman Wing Onn di sini, yang tiba-tiba retak petang semalam dipercayai berpunca akibat peningkatan haba.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mahmud Azaddin berkata pihaknya menerima panggilan daripada penghuni rumah berkenaan kira-kira 5.43 petang yang mengadu lantai ruang dapur kediamannya retak secara tiba-tiba.

Beliau berkata suhu persekitaran semasa kejadian adalah 32 darjah celsius, manakala suhu di bawah lantai dianggar lebih daripada itu sehingga menyebabkan retakan.

“Bila berlaku peningkatan haba dari bawah tanah, maka akan keluar gas-gas tertentu sehingga menyebabkan jubin tersebut menggelembung dan seterusnya pecah.

“Gas-gas ini kita dapati kesan daripada wap air yang ada pada pecahan lantai itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Mahmud berkata pemeriksaan lanjut mendapati gas-gas itu bukan daripada jenis yang berbahaya, dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan penghuni rumah berkenaan. — Bernama