Dua lelaki yang baru sahaja meragut seorang pelancong warga Jerman berjaya ditahan selepas motosikal yang mereka naiki terbabas ketika melarikan diri sebelum melanggar dinding di tepi jalan di Lebuh Muntri, George Town, Pulau Pinang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, wanita berusia 19 tahun berkenaan sedang berjalan di tepi jalan di kawasan itu bersama rakannya sebelum mereka dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal.
"Motosikal itu datang dari arah belakang dan pemboncengnya telah bertindak menarik beg galas mangsa yang disandang di bahu kanannya, bagaimanapun wanita berkenaan memegangnya dengan kuat dan hanya tali beg sahaja terputus manakala beg terbabit tercampak.
"Dua lelaki yang menaiki motosikal itu tidak mengambil beg berkenaan dan terus memecut laju sebelum selang beberapa minit kemudian kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, mangsa terdengar bunyi dentuman," katanya hari ini.
[ads-post]
Beliau berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mior Faridalathrash berkata sebaik terjatuh, seorang daripada lelaki itu cuba melarikan diri bagaimanapun gagal kerana kedua-duanya berjaya ditahan orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis yang sedang membuat rondaan di situ.
Siasatan awal mendapati dua lelaki berusia 23 dan 28 tahun itu tidak bekerja dan memang dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes ragut lain sebelum ini, katanya.
Beliau berkata kedua-dua mereka juga didapati positif dadah dan kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan. - Bernama