KOTA BHARU - Seorang lelaki yang dipercayai ‘lalok’ bertindak melepaskan beberapa tembakan menyebabkan pelanggan bertempiaran lari dalam kejadian di gerai makan Pusat Tarbiyah Pas, Rantau Panjang, tengah malam semalam.
Lelaki berusia 40 tahun terbabit bertindak sedemikian selepas dia dimarahi pemilik gerai yang berusia 49 tahun kerana terlanggar kereta jenis Proton Saga serta merempuh kedai makan mangsa pada kejadian jam 12 tengah malam itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek yang berada di bawah pengaruh dadah memandu kereta jenis Subaru masuk ke kawasan pusat terbabit. Ketika cuba memakir keretanya, dia terlanggar sebuah kereta lain yang diletakkan di hadapan kedai dan turut merempuh kedai tersebut.
“Rempuhan menyebabkan peniaga dan lebih 20 pelanggan yang berada di situ terkejut lalu datang memarahi suspek. Dalam kekecohan itu, mangsa sempat membaling batu ke arah kereta suspek hingga cermin hadapannya pecah menyebabkan dia berang lalu keluar dan melepaskan satu das tembakan.
“Panik mendengar bunyi tembakan itu, mereka semua bertempiaran lari menyelamatkan diri. Suspek kemudiannya mengambil kesempatan mengambil barang berharga dan telefon bimbit yang ditinggalkan pelanggan di atas meja,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut menyelamatkan diri, orang ramai yang baru sahaja selesai menghadiri kuliah agama di pusat berkenaan sempat mengunci pagar bagi mengelak suspek daripada te
rlepas, namun lelaki itu turun dari kereta dan melepaskan satu lagi das tembakan sebelum membuka pagar serta lolos.Mazlan berkata, suspek yang memiliki tiga rekod lampau berkait dadah itu akhirnya ditahan polis di rumah keluarganya di Bunut Susu, Pasir Mas pada jam 7 pagi, semalam. Beberapa kelongsong peluru jenis bebola besi yang digunakan untuk melepaskan tembakan dari senjata tiruan, turut ditemui di lokasi kejadian.
“Lelaki yang mempunyai tiga anak tersebut kini ditahan reman bagi membantu siasatan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 379 dan 448 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta menceroboh,” katanya. - Sinar