“Saya terus kejutkan isteri dan empat anak untuk menyelamatkan diri kerana api sudah mula merebak dan membakar rumah kami,” kata Mohd Zan Hidzir, 50, mengenai kebakaran yang memusnahkan rumah sewanya, awal pagi semalam.
Kebakaran jam 1.30 pagi di Jalan Redan, Kampung Kanchong Darat, di sini, turut menyebabkan tiga lagi rumah terletak bersebelahan musnah.
Mohd Zan berkata, dia dan isteri hanya sempat menyelamatkan televisyen dan tong gas serta beberapa dokumen penting, namun kelengkapan lain tidak dapat diselamatkan kerana api marak begitu cepat.
Katanya, turut musnah dalam kebakaran itu adalah motosikalnya yang digunakan untuk bekerja dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000.
“Walaupun banyak barang tidak dapat diselamatkan, saya bersyukur kerana isteri dan anak tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Difahamkan, api mula di bahagian dapur sebuah rumah sebelum merebak seterusnya memusnahkan tiga lagi rumah yang kebanyakannya disewa penghuni bersama keluarga masing-masing dan kerugian dianggarkan melebihi RM100,000.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.45 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran jam 2.15 pagi dan api dapat dipadamkan sepenuhnya jam 4.19 pagi kerana struktur rumah sebahagiannya diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan cepat.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.