Selalunya arwah akan jawab okay, tetapi baru-baru ini ketika ditanya, dia seperti teragak-agak untuk menjawab okay,” kata pengarah, pelakon dan pelawak popular, Afdlin Shauki mengenai rakan baiknya yang juga pelakon dan pelawak, Harun Salim Bachik yang meninggal dunia, petang semalam.
Afdlin ketika ditemui berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Allahyarham Harun pada Jumaat lalu untuk berbincang mengenai perniagaan kek yang mereka usahakan bersama.
“Dia datang dalam keadaan sangat ceria dan bertenaga. Dalam perjumpaan itu, kami berbincang berjam-jam dan esoknya (Sabtu lalu) dia bertolak ke Pulau Pinang.
“Saya dapat berita kematiannya ketika berada dalam kelas seminar. Memang terkejut dibuatnya kerana ketika berjumpanya dia seperti biasa saja,” katanya ketika ditemui di majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves, di sini, hari ini.
Allahyarham meninggal dunia selepas sesak nafas dan rebah sebaik memasuki tandas di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat & Rawat (R & R) Gunung Semanggol, Lebuhraya PLUS arah selatan di Perak, 4.20 petang semalam.