PETALING JAYA: Pengarah filem Puaka Balai Gombak iaitu Waan Hafiz terpaksa meninjau lebih 10 buah lokasi seram popular di Malaysia sebelum memulakan pengambaran filem tersebut.
Waan berkata, cabaran utama apabila kebanyakan tempat seram tersebut kurang menarik untuk dijadikan lokasi penggambaran.
"Kami membuat kajian dan tinjauan di lebih 10 lokasi yang dikatakan paling seram di Malaysia, namun kebanyakkannya terlalu gelap untuk penggambaran dan tidak menarik.
"Kawasan-kawasan itu sudah lama ditinggalkan dan waktu malam cahaya bulan pun tak nampak kerana sudah dilindungi rimbunan pokok liar," ujarnya kepada mStar Online, Selasa.
Waan ditemui selepas tayangan media filem Puaka Balai Gombak, di TGV One Utama, di sini, Selasa.
Dalam pada itu, Waan berkata terdapat juga beberapa lokasi seram yang sering diperkatakan namun tidak mendapat kebenaran daripada waris dan penduduk setempat.
"Ada lokasi tempat persendirian yang memang tidak dibenarkan dan ada juga yang tidak mendapat kebenaran daripada penduduk di situ.
Jelasnya, sepanjang penggambaran berlangsung dia, pelakon dan kru produksi merasakan kehadiran entiti tersebut, namun ia tidak dapat dirakam oleh kamera.
"Susah apabila kita rasa kehadiran entiti itu dan tahu mereka sedang memandang apa yang kita lakukan tetapi tidak dapat dirakam kamera.
"Secara jujur saya bukan seorang yang percaya pada makhluk halus tetapi selepas penggambaran itu, ia memberi satu pengajaran kepada saya tentang wujudnya makhluk itu," katanya.
Filem Puaka Balai Gombak terbitan Showbiz ini akan berada di pawagam bermula 29 Januari 2015.