Mimpi Bertemu Nabi Muhammad - DrMaza

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:28 PTG


Hari ini ramai yang membuat pelbagai majlis atas nama Nabi Muhammad s.a.w. Pada asasnya mengingati Nabi s.a.w dalam usaha mengamalkan ajaran baginda memanglah sesuatu yang baik. Bernasyid dan berqasidah untuk hiburan hati juga tidak salah.

Memuja dan memuji Nabi s.a.w dalam puisi dan syair juga baik. Namun, jika Nabi s.a.w itu sekadar satu upacara dalam menaikkan golongan tertentu ataupun mengaut keuntungan tertentu maka itu tidak akan membawa masyarakat kepada Nabi s.a.w.

Ada pula yang mendakwa kononnya Nabi s.a.w itu hadir ke dalam majlis mereka secara jaga atau yaqazah. Ada yang melambai kononnya Nabi s.a.w itu hadir. Sekadar lambai suka-suka maka itu sekadar hiburan. Namun apabila melibatkan dakwaan tertentu berkaitan agama maka itu perlukan dalil syarak. Takrif sahabat Nabi s.a.w di sisi Ahli Hadis ialah ‘sesiapa yang berjumpa dengan Nabi s.a.w, beriman dengan baginda dan mati dalam iman’.

Soalannya, apakah mereka yang berjumpa Nabi s.a.w dalam majlis-majlis di Malaysia ini telah menjadi sahabat Nabi s.a.w sehingga mereka ini nanti kita sebut selepas nama mereka radiyalLahu ‘anhu. Dakwaan yang seperti ini mempunyai kesan yang bukan mudah. Jika kita masih ingat dahulu Ashaari Muhammad pengasas pertubuhan al-Arqam yang membawa ajaran sesat yang berasaskan mimpi dan pertemuannya secara yaqazah (jaga) dengan Nabi s.a.w. Akhirnya pelbagai dakwaan pelik dikeluarkannya dengan bersandar kepada dialognya dengan Nabi s.a.w. yang dia dakwa itu.

Para sahabat Nabi s.a.w telah menghadapi pelbagai krisis dan masalah. Mereka tidak pernah menggunakan mimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam pertikaian antara mereka. Tidak pernah ‘Ali ataupun ‘Aishah ataupun al-Zubair ataupun Talhah dalam krisis antara mereka yang telah membawa kepada penumpahan darah itu mendakwa bermimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam menentu kebenaran. Padahal mereka lebih perlukan dan lebih layak untuk bermimpi berjumpa baginda. Maka, kita kena ingat apa yang Nabi s.a.w ingatkan kita:

“Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim). Dr Maza