India: Wanita Besi Manipur ditangkap lagi

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:51 PG


Guwahati: Polis India menangkap - sekali lagi - aktivis hak asasi manusia yang bermogok lapar sejak 14 tahun lalu, hanya beberapa jam selepas dia dibebaskan dengan arahan mahkamah.

Irom Sharmila yang digelar Wanita Besi Dari Manipur dibawa ke penjara kelmarin atas tuduhan cuba membunuh diri. Sebelum ini dia ditangkap juga atas tuduhan sama.

Ketua Polis Guwahati, Jhaljit semalam berkata, Irom kini diberi cecair melalui hidung di sebuah hospital atas faktor perubatan. Irom dikenali sebagai pejuang hak asasi manusia yang melakukan penentangan tanpa kekerasan.

Dia menghabiskan masa bertahun-tahun di dalam penjara tanpa mengambil sebarang makanan. Berusia 42 tahun, Irom dibebaskan atas perintah hakim pada Khamis dan tuduhan yang dikenakan terhadapnya digugurkan. Dalam tempoh lima bulan terakhir ini,

Irom ditangkap dan dibebaskan sebanyak dua kali. Pada Ogos lalu sebuah mahkamah di Manipur mengarahkan Irom dibebaskan selepas hakim memutuskan aksi mogok laparnya adalah “tuntutan politik melalui cara yang dibenarkan.”

Sementara itu pertubuhan Amnesty International menganggap penahanan semula Irom sebagai “mengarut” dan “mempersenda proses keadilan jenayah India.”

Pengarahnya, Shemeer Babu berkata, mogok lapar bukan tindakan cuba membunuh diri.

“Kami tak faham mengapa pihak berkuasa berulang kali membawa tuduhan sama walaupun ia sudah diketepikan mahkamah,” katanya.

Irom mula mogok lapar pada November 2000 selepas menyaksikan tentera India membunuh 10 orang awam di sebuah hentian bas di Manipur. - AFP