Bangkai pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 - Foto kredit Time.com Indonesia
Jakarta: Nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Selat Karimata 28 Disember lalu tidak berkait dengan statusnya sebagai syarikat penerbangan tambang murah, tegas Penyiasat Kanan Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan (KNKT), Soerjanto Tjahjono.
Menurut beliau, rancangan Menteri Pengangkutan Ignatius Jonan untuk membekukan semua operasi penerbangan tambang murah adalah tidak masuk akal.
“Keselamatan penerbangan tidak berkait langsung dengan syarikat penerbangan tambang murah (LCC).
“Malah kami belum pernah bertemu kes nahas pesawat disebabkan tambang murah,” katanya ketika menghadiri majlis dialog Bukan Cari Kambing Hitam: Selamatkan Penerbangan Nasional di Jakarta, hari ini.
Jelas Soerjanto LCC itu mudah digambarkan menerusi perbandingan kasar.
“Cuba bezakan kereta jenis Avanza dan Garuda dengan Mercedes. Tak ada salahnya LCC,” katanya sinis.
Selain isu LCC, Soerjanto turut mendedahkan bahawa usia pesawat tidak semestinya menjadi antara punca nahas dalam sektor penerbangan.
“Ada pesawat lama yang masih digunakan beberapa syarikat penerbangan komersial nasional.
“Namun tak ada satupun kemalangan di Indonesia kerana pesawat lama.
Jika diselenggara baik mengikut peraturan, pesawat lama masih boleh terbang seperti biasa,” katanya.-Suara.com