Peguam Najib, Shafee ditegur berbahasa sopan sangkal Hakim Nazlan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:23 PG

Muhammad Shafee ditegur berhubung penggunaan kata-kata yang tidak sesuai bagi menggambarkan Hakim Mohd Nazlan Ghazali sewaktu perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi. 

PUTRAJAYA: Ketua peguam bela mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditegur berhubung penggunaan kata-kata yang disifatkan tidak sesuai bagi menggambarkan Hakim Mohd Nazlan Ghazali sewaktu perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat teguran itu terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memberi hujahan bahawa Hakim Mohd Nazlan bukan sahaja tidak kompeten, malah telah ‘meracuni’ alasan penghakimannya sewaktu menjatuhkan hukuman ke atas perdana menteri (ketika itu) tahun lepas.

Selain itu, Muhammad Shafee juga turut menggunakan perkataan seperti "berat sebelah" dan telah melakukan kesilapan berkali-kali sewaktu memberi penghakiman lisan dalam menentukan prima facie kes, serta alasan penghakiman (grounds of judgement).

“Saya perlu kemukakan soalan ini kepada anda (panel tiga hakim Mahkamah Rayuan)... jika beliau (Mohd Nazlan) telah menunjukkan sikap berat sebelah, boleh mengganggu rekod perbicaraan dan sebagainya, bagaimana kita boleh percaya terhadap penemuan beliau yang lain?

“Adakah beliau telah ‘meracuni’ alasan penghakimannya sendiri?” hujah Muhammad Shafee pada hari kedua prosiding rayuan Najib berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta di Istana Kehakiman, hari ini.

Abdul Karim kemudian menegur Muhammad Shafee dan menyarankan beliau agar menggunakan perkataan lain yang boleh diterima.

"Tolong gunakan perkataan yang sopan untuk menunjukkan di mana dia (Mohd Nazlan) tersilap.

"Tidak perlu menggunakan frasa seperti hopelessly incompetent (begitu tidak kompeten) dan poisoned (meracun) penghakiman," kata hakim Abdul Karim Abdul Jalil.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Has Zanah Mehat.

Bagaimanapun Muhammad Shafee berkata, jika Mohd Nazlan sendiri menunjukkan kelemahan tersebut, beliau akan tetap mempertahankan pendirian dan hujahnya.

Semalam, sewaktu menyampaikan hujah rayuannya, Muhammad Shafee berkata, terdapat perbezaan antara penghakiman lisan Mohd Nazlan bertarikh 11 November, 2019, dengan alasan penghakiman bertulis (GOJ), dalam menentukan prima facie kes tersebut.

Mahkamah Tinggi pada 28 Julai, 2020, mendapati Najib bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan melibatkan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Bekas Presiden UMNO itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.\

Sumber: Astro AWANI